Thursday, December 21, 2006

Hasrat ragbi remaja tersekat

SKUAD ragbi remaja kebangsaan negara gagal melangkah ke saingan final selepas tunduk kepada pasukan Jepun, 74-3 dalam pertemuan separuh akhir Divisyen Satu di Kejohanan Ragbi Bawah 19 ARFU Asia di Stadium Whampoa Military Academy, Kaohsiung, Taiwan semalam.
Pasukan Jepun membenam skuad negara dengan mendahului 26-0 pada babak pertama dan perlawanan nampaknya terus berpihak kepada lawan apabila melengkapkan kutipan mata kemenangan 48-3 pada babak terakhir.Pengurus pasukan negara, Ahmad Sufiani Johari, berkata meskipun tewas kepada Jepun namun pemain negara masih menunjukkan prestasi permainan yang amat membanggakan dan berkualiti. “Setiap pemain negara telah memberikan komitmen yang tinggi dan ketiadaan beberapa pemain kerana cedera sewaktu menentang Thailand juga antara punca kekalahan itu.“Jarak kedudukan mata yang tinggi tidak sedikitpun mengganggu kualiti persembahan setiap pemain negara dan mereka amat bersemangat untuk meneruskan saki baki permainan walaupun berdepan juara bertahan lima kali, Jepun yang juga berada di ranking pertama Asia.“Ia merupakan satu perlawanan yang amat pantas dan mencabar fizikal dan mental pemain negara walaupun kami akui saiz badan yang lebih berpihak kepada pemain Jepun,” katanya. Pasukan ragbi negara masih lagi berpeluang untuk meneruskan kempen meningkatkan kedudukan ranking Asia dari kedudukan ke lima kini ke tempat ke tiga apabila berdepan Hong Kong dalam perebutan tempat ke tiga dan keempat pada 22 Disember ini.Pasukan Hong Kong yang berada di ranking ke tujuh Asia dilihat paling menyerlah dalam kejohanan kali ini selepas berjaya menundukkan pasukan Korea yang berada di ranking kedua Asia dalam pertemuan suku akhir sebelum ini.Sufian berkata, pertemuan ini penting bagi melakar sejarah baru negara untuk dapatkan tempat ke tiga Asia dan kemenangan ke atas Thailand yang berada di kedudukan ke empat Asia sudah cukup menggembirakan skuad negara.Saingan suku akhir berdepan Thailand sebelum ini dianggap pertemuan ‘buku dengan ruas’ dan mempamerkan satu pertembungan yang sengit dan hebat yang juga di saksikan oleh Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Datuk Seri Syed Razlan Jamalullail. Dalam saingan akhir, Jepun akan bertemu pasukan tuan rumah, Chinese Taipeh untuk penentuan kejuaraan ragbi remaja Asia.

No comments: